Norza: Keputusan dibuat untuk elak hilang keyakinan

Penulis Jemputan
June 20, 2017 19:35 MYT
Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 pastinya akan menjadi medan penentu masa depan badminton beregu utama wanita negara, Vivian Hoo dan Woon Khe Wei, susulan prestasi yang tidak memuaskan kebelakangan ini.
Vivian-Khe Wei tersingkir dalam pusingan pertama Siri Super Premier Terbuka Indonesia sehingga menyebabkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil keputusan untuk menarik penyertaan pasangan itu daripada Siri Super Terbuka Australia, minggu ini.
Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, mahu Vivian-Khe Wei menumpukan latihan sepenuhnya dalam usaha untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi di pentas Sukan SEA sejak tahun 2013.
“Saya amat khuatir apabila melihat prestasi yang ditunjukkan kedua-duanya, terutama sejak Piala Sudirman sehingga ke Terbuka Indonesia.
"Bagi saya, penting untuk mereka mempertingkatkan prestasi melalui latihan intensif berbanding menyertai banyak kejohanan yang mungkin menurunkan keyakinan mereka," tambahnya.
Dalam masa sama, BAM tidak berhasrat untuk mencampuri urusan prestasi Vivian dan Khe Wei, sebaliknya menyerahkan kuasa sepenuhnya kepada ketua jurulatih beregu wanita, Wong Pei Tty, untuk menyelesaikan masalah anak-anak buahnya.
“Mereka adalah pemain-pemain Sukan Olimpik dan sepatutnya menjadi contoh kepada pemain-pemain lain dengan mempamerkan aksi terbaik ketika turun dalam setiap perlawanan,” katanya.
#Vivian Hoo #Woon Khe Wei #Persatuan Badminton Malaysia #Norza Zakaria
;