Perseorangan negara, Ng Tze Yong bakal menjalani pembedahan kecederaan belakang yang dialami ketika Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2024 tempoh hari.

Selepas mendapatkan khidmat bersama pakar perubatan, Tze Yong akhirnya bersetuju untuk memberi keutamaan terhadap proses pemulihan dengan menjalani pembedahan minggu depan.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam kenyataan rasminya mengatakan, pembedahan kecil itu terpaksa merehatkan Tze Yong dari menyertai sebarang kejohanan selama dua hingga enam minggu.

"BAM sentiasa mengutamakan pemain. Fokus kami ketika ini adalah pada rawatan buat Tze Yong dan proses pemulihannya.




"Selepas dia pulih sepenuhnya nanti, kami akan bincangkan perancangan seterusnya. Buat masa ini, kami mahu dia fokus terhadap mengatasi kecederaan ini,"katanya.

Walaupun Tze Yong bakal terlepas untuk beraksi dalam kejohanan terdekat ini, tetapi masih ada harapan untuk dia kembali bermain dalam Kejohanan Masters Sepanyol di Madrid dan Kejohanan Badminton Asia di NingBo selepas melihat kepada kemajuan pemulihan kesihatannya.