Nazifuddin: Pembawa bendera Malaysia dibincang esok
Penulis Jemputan
July 9, 2018 19:43 MYT
July 9, 2018 19:43 MYT
Empat bintang sukan yang diketuai jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, diletakkan sebagai pilihan untuk tugas pembawa bendera kontinjen negara dalam Sukan Asia Indonesia, bulan depan dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan membincangkan perkara itu dalam mesyuarat lembaga eksekutifnya esok.
Tugas pembawa bendera kebiasaannya diserahkan kepada atlet terbaik setiap negara, di mana ia dinilai sama ada daripada segi pencapaian, disiplin dan sikap di luar gelanggang.
MOM mengekalkan pendekatan memilih atlet yang memiliki reputasi besar selepas ratu skuasy, Datuk Nicol Ann David, menjalankan tugas itu di Incheon, empat tahun lalu.
"Ia bergantung kepada faktor senior, pencapaian yang diraih serta jasa yang disumbangkan kepada negara. Itu adalah kriteria yang kami lihat.
"Esok, kami akan bincangkan mengenai atlet yang sesuai untuk membawa bendera dan seminggu sebelum Sukan Asia 2018 nanti, akan ada penyerahan bendera kepada atlet-atlet Malaysia," ujar Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib.
Berdasarkan kriteria itu, empat atlet diletakkan sebagai pilihan utama, iaitu selain Chong Wei dan Nicol, dua lagi nama yang dicalonkan adalah Pandelela Rinong (terjun) dan Azizulhasni Awang (berbasikal trek).
Sementara itu, MOM sedang menunggu maklum balas Jawatankuasa Penganjuran Sukan Asia Indonesia (INASGOC) untuk memilih tarikh undian semula bagi acara sepak takraw.
"Kami masih belum menerima tarikh tetapi telah menghubungi INASGOC dan mereka mengakui akan wujud undian secara dalaman, jadi kami sedang menunggu perkembangan itu," tambahnya.