Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Pekak Malaysia (MSDEAF), Mohd Yazid Bain, merayu agar kementerian Belia dan Sukan Negara (KBS) sudi menghulurkan bantuan untuk meringankan beban persatuan itu.

Ini berikutan status kewangan persatuan itu yang semakin meruncing malah lebih mengecewakan wujudnya 'double standard' melibatkan nilai bantuan yang diberikan kepada mereka jauh berbeza berbanding atlet sukan para.

Meskipun kedua-dua mereka berstatus Orang Kurang Upaya (OKU), namun mereka berasakan kecewa dengan layanan pihak kerajaan dan mahukan langkah drastik dapat diambil segera.

"Kita mengharapkan tahun ini dapat bantuan RM 2 juta daripada pihak kerajaan dan jumlah itu belum termasuk kos bayaran staf dan penggerak persatuan itu." katanya.

Begitupun, kemelut tersebut tidak sedikitpun mendatangkan masalah kepada barisan atlet pekak yang menyifatkan mereka tidak terkesan dengan isu tersebut.

"Persatuan MSDEAF banyak membantu fokus dan banyak menolong kami untuk keluar negara dan negeri untuk mengikuti perlawanan dari aspek kewangan." kata Pelari ketiga 4x400 Meter Sabah, Atasya Faqeha Juakim.