SELANGOR MAC 5 PFA ODIN SARAWAK 1

Skuad futsal Selangor MAC masih berpeluang mempertahankan kejuaraan meskipun perubahan besar dalam barisan musim ini.


Ketua jurulatihnya, Edgar Eder Baldasso, berkongsi kepada wartawan Astro Arena, Syen Yeoh, bahawa dia percaya skuad kendaliannya kini hadir dengan kelebihan berbeza berbanding musim lalu di sebalik kehilangan lapan tonggak utama.

Ia berikutan ketua pasukan, Khairul Effendy Bahrin, sedang menjalani pemulihan dari kecederaan lutut 'ACL'.

Perlawanan pembuka tirai Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) musim 2023 itu menyaksikan Selangor MAC mengutip tiga mata pertama selepas menewaskan PFA Odin Sarawak 5-1 di Shah Alam, sebentar tadi.

"Tahun ini kami memiliki skuad yang lebih muda berbanding musim lalu.





"Tahun lalu sebaliknya kami dibarisi pemain lebih berpengalaman.

"Apa pun, dengan (acuan) pemain pengalaman dan bertenaga, mereka memberikan persembahan yang diharapkan.

"Namun, kami tetap perlu tingkatkan prestasi dengan pesat.

"Perlawanan sangat sengit dan pemain-pemain agak gemuruh, tapi saya nampak prospek buat pasukan ini", kata jurulatih dari Brazil itu.

Sementara itu, PFA Odin Sarawak yang tampil ke pentas MPFL buat julung kalinya perlu belajar daripada setiap perlawanan dan terus menunjuk peningkatan dalam aksi seterusnya.

"Untuk persembahan pemain dalam kalangan 18-19 tahun ini, saya berpuas hati dengan tempo anak buah cuma mereka agak kekurangan pengalaman.

"Lagipun ketiadaan kejohanan kompetitif di Sarawak.

"Ini pentas untuk kami belajar dan banyak perkara baru yang kami dapat timba.

"Kami analisis perlawanan ini untuk turun lebih bersedia selepas ini," kata ketua jurulatihnya, Faizal Zamri, pula.