Pasukan Selangor TOT melakar kejutan apabila berjaya menundukkan skuad Johor Darul Ta'zim (JDT) 3-1 dalam saingan Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) hari ini.

JDT berjaya mendominasi perlawanan dan menghasilkan jaringan pertama menerusi Awalluddin Mat Nawi seawal minit ke-11 sekaligus membuat Selangor TOT buntu sehingga wisel separuh masa pertama ditiupkan.

Memasuki separuh masa kedua, seperti mendapat sentuhan magis, skuad kendalian Patt Sriwijit menyamakan kedudukan hasil jaringan Wan Raziq pada minit ke-28.

Joshua Lee Chia Chen meledak gol kedua pada minit ke-32 dan tanpa membuang masa, pemain kelahiran Brazil, Helio Neto melebarkan lagi jurang dengan jaringan ketiga sekaligus menamatkan perlawanan dengan tiga mata penuh buat Selangor TOT bagi mengukuhkan lagi kedudukan dalam Kumpulan B.

Dengan itu, Selangor TOT peroleh kemenangan kedua musim ini sementara buat pendatang baru saingan, JDT terpaksa akur berdepan kekalahan pertama di tangan Selangor TOT.