Misi Goh Sze Fei-Nur Izzuddin masih belum selesai
September 26, 2024 08:55 MYT
Kejayaan mengungguli kejohanan Super 1000 Terbuka China tidak seharusnya membuatkan beregu profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani berasa selesa kerana perjuangan mereka masih panjang.
Ketua jurulatih beregu profesional, Rosman Razak, juga enggan anak buahnya itu cepat berpuas hati dengan kejuaraan tersebut, sebaliknya mahu mereka fokus dengan kejohanan mendatang.
RESULTS: #ChinaOpen2024 FINAL#MAS?? Goh Sze Fei-Izzuddin Rumsani(7) def. #CHN?? He Ji Ting-Ren Xiang Ru(5) 13-21 21-12 21-17 FeiDin battled past their home-court opponents to secure their second title of the year! Congrats, bros! ??? ⏱️ 58m ? @badmintonphoto… pic.twitter.com/uLXWI1UQs7
— BAM (@BA_Malaysia) September 22, 2024
Nur Izzudin-Sze Fei melakar sejarah apabila menjadi beregu kedua negara mengungguli Terbuka China selepas kali terakhir dilakukan pasangan adik beradik, Datuk Seri Jalani dan Datuk Razif Sidek pada 1989.
Kejayaan Nur Izzuddin-Sze Fei itu diraih selepas mereka membenam cabarangan gandingan tuan rumah, He Ji Ting-Ren Xiang Yu 13-21, 21-12, 21-17 pada Ahad.
Mengulas mengenai kejayaan tersebut, Rosman memuji corak permainan mereka yang memperagakan aksi yang baik sepanjang kempen di Changzhou itu.
"Angin di gelanggang memainkan peranan penting pada Terbuka China. Kekuatan angin sentiasa berubah. Dalam aksi separuh akhir dan final, penganjur telah menutup laluan angin jadi corak permainan dan taktikal berubah.
"Di atas kertas, rekod pertemuan kami tidak begitu baik tetapi saya memang sudah jangkakan sengit," katanya.
Sze Fei-Nu Izzuddin yang kini menghuni ranking kelapan dunia dijadual 'terbang' ke Eropah untuk menyertai Terbuka Artik yang berstatus Super 500 di Finland bermula 8 hingga 13 Oktober dan disusuli Terbuka Denmark (Super 750) dari 15 hingga 20 Oktober.