Masters Jepun: Justin Hoh beri tentangan cukup hebat sebelum tersingkir di tangan Lee Zii Jia
Muzaffar Musa
November 13, 2024 18:31 MYT
November 13, 2024 18:31 MYT
Perseorangan meningkat naik negara, Justin Hoh, memberikan tentangan cukup hebat kepada perseorangan nombor satu Malaysia, Lee Zii Jia, sebelum tersingkir dalam pusingan pertama Kejohanan Badminton Masters Jepun di Kumamoto sebentar tadi.
Kedua-dua wakil negara itu mempamerkan aksi menarik dengan saling berkejaran mata pada awal set pertama tetapi menuju ke pertengahan permainan, Zii Jia mula mempamerkan dominasi untuk mendahului 14-8 sebelum menang 21-16.
Bagaimanapun, Justin membuktikan dia prospek terbaik dalam sektor perseorangan lelaki dengan merencanakan kebangkitan luar biasa, di mana dia tidak pernah ketinggalan sejak memperoleh empat mata pertama sebelum menang 21-12, sekali gus mengheret perlawanan ke set ketiga.
Aksi kian menarik dalam set penentuan, di mana Justin bangkit daripada ketinggalan 3-7 untuk mengikat kedudukan 8-8 tetapi selepas berada di kedudukan 10-10, Zii Jia tidak lagi menoleh ke belakang untuk menamatkan pertarungan selama 62 minit itu dengan kemenangan 21-17.
Zii Jia seterusnya akan menantikan pemenang di antara perseorangan tuan rumah, Koo Takahasi, dan wakil Taiwan. Su Li Yang, bagi penentuan ke suku akhir esok.