Masalah kewangan dipercayai menjadi antara punca pemain Kedah Darul Aman (KDA) tidak turun berlatih sejak Selasa lalu.

Menurut sumber, hanya ketua jurulatih, Nafuzi Zain dan staf kelab dilihat turun ke padang latihan, namun para pemain tidak kelihatan.

Ujarnya, jika masalah tunggakan gaji dapat diselesaikan dengan lebih cepat, perkara tersebut tidak akan berlarutan hingga sekarang.

"Saya tidak pasti berapa lama lagi kelab terpaksa mengharungi masalah ini. Berhubung masalah ini, biarlah pihak pengurusan yang membuat kenyataan lebih lanjut," kata sumber semasa ditemui di sini.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan Gerakan Belia 4B Kedah bimbang dengan krisis yang melanda KDA apabila terdapat desas-desus pemainnya telah memboikot sesi latihan sejak beberapa hari yang didakwa berpunca daripada masalah gaji.

Pengerusinya, Muhammad Najib Mohd Taib menggesa Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor agar campur tangan kerana KDA merupakan simbol kegemilangan sukan bola sepak di negeri ini.

Menurutnya, dialog terbuka antara pihak pengurusan KDA, peminat, dan pihak berkepentingan perlu diadakan untuk mencari penyelesaian terbaik yang dapat memulihkan keadaan.

--Kredit Sinar Harian