Beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M. Thinaah, meneruskan sensasi dalam Kejohanan Badminton Masters Malaysia apabila melangkah ke pentas final susulan kejayaan menumbangkan pilihan kelima dari Korea Selatan, Jeong Na-eun-Kim Hye-jeong di Arena Axiata, Bukit Jalil sebentar tadi.

Dengan hanya satu rekod pertemuan di antara kedua-dua beregu ini, kemenangan terdahulu memihak wakil Korea Selatan itu menyaksikan Pearly-Thinaah menampilkan corak permainan yang bertenaga dalam set pertama apabila merakamkan kemenangan 21-19.

Selepas mencipta kejutan dalam aksi suku akhir apabila mengatasi bekas beregu nombor satu dunia dari Jepun, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota, mereka meneruskan rentak cemerlang dalam set kedua, kali ini menyaksikan kedua-dua beregu mengutip mata.

Ketika set kedua seakan memihak Korea, Pearly-Thinaah mempamerkan persembahan yang luar biasa apabila menyelamatkan mata demi mata sebelum menoktahkan kemenangan 23-21.

Mereka bakal berdepan satu lagi beregu dari Korea Selatan, Baek Ha-na-Lee Soo-hee yang mengatasi pilihan ketujuh, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun, 21-19, 21-14.