Kurang 24 jam lagi saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 akan membuka tirainya dengan negeri Terengganu menjadi lokasi pembukaan.

Peringkat pertama akan membabitkan kayuhan sejauh 187.4 kilometer, termasuk tiga zon pecutan dan dua zon pendakian yang lebih memihak kepada pakar pecutan.

Cabaran besar yang bakal dihadapi pelumba negara apabila terdapat dua pelumba Eropah yang masih segar daripada saingan UCI Pro Series China yang berakhir pada 17 September lalu.

Dua pelumba Pro Team itu adalah George Jackson yang menduduki tempat pertama dan Enrico Zanoncello yang berada di tempat kedua Tour of Taihu Lake 2023 sekaligus menjadikan mereka antara pilihan untuk mengungguli perlumbaan tahun ini.

Harrif Salleh yang juga memecah rekod sebagai pelumba Malaysia paling banyak menyertai LTdL iaitu sebanyak 14 kali, menyedari cabaran yang bakal ditempuhnya di peringkat pertama nanti.

"Pelumba yang beraksi di LTdL kali ini merupakan antara yang terbaik dunia. Saya masih belum mengetahui kemampuan mereka namun beraksi sebagai pelumba tuan rumah kami juga memiliki kelebihan daripada segi mengetahui laluan di sini," kata Harrif menerusi Nadi Arena.