Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mendapat lampu hijau untuk beraksi dalam Liga Super, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL), sebentar tadi.

Dalam kenyataan tersebut, Pengerusi First Instance Body (FIB), Tuan Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif, mengesahkan skuad Hijau Kuning telah menyelesaikan bayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai Liga Super termasuk pasukan B-23 tahun, B-20 dan B-18 bagi 2023 sebelum tarikh akhir yang ditetapkan pada 20 April 2024 jam 5.00 petang.

Dalam masa sama, terdapat dua pemain yang masih belum mendapat bayaran berikutan kes masih dalam perbicaraan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Majlis Penyelesaian Resolusi Kebangsaan (NDRC) iaitu Lee Andrew Tuck dan Jonathan Boareto dos Reis.




Namun, kesemua bayaran tunggakan seperti yang diarahkan oleh FIB telah berjaya diselesaikan oleh KDA FC bagi membolehkan KDA FC kekal mendapat Lesen Kebangsaan untuk beraksi dalam Liga Super bagi musim 2024-2025.

FIB, bagaimanapun, mengekalkan hukuman pemotongan tiga mata bagi pertandingan Liga Super musim 2024-2025 dan denda RM 50,000 ke atas Kedah berhubung kegagalan membuat penyelesaian penuh tunggakan gaji bagi 2023 pada tarikh akhir 30 Mac 2024 sebelum FIB memberi lanjutan masa sehingga 20 April 2024.