Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak mahu berhenti menambah baik fasiliti di Stadium Sultan Ibrahim untuk memberikan pengalaman luar biasa kepada penyokong.

Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards, berkata kelab itu kini dalam perbincangan untuk memeterai perjanjian yang akan menaikkan lagi standard stadium berkenaan.

"Kami kini sedang berbincang dengan syarikat arkitek terkemuka antarabangsa untuk meningkatkan dan menambah baik Stadium Sultan Ibrahim yang ikonik dan telah diundi sebagai 'World Stadium of the Year' pada 2020," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook Johor Southern Tigers hari ini.

Stadium Sultan Ibrahim boleh dikategorikan sebagai stadium terbaik dimiliki negara dan menjadi lambang kemegahan skuad Harimau Selatan itu.

Stadium yang dilancarkan pada 22 Februari 2022 itu dibina dengan kos RM200 juta dan menjadi 'rumah' buat JDT menggantikan Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Kenyataan itu turut berkata JDT telah mencapai persetujuan dengan syarikat minuman kopi terkenal, Starbucks, untuk membuka cawangan di stadium itu.

"Ini akan meningkatkan lagi pilihan makanan dan minuman di Stadium Sultan Ibrahim setelah Woodfire Burger dan KFC dibuka.

"JDT juga dalam proses untuk menyediakan galeri muzium di stadium untuk memperagakan kejayaan yang dicapai sepanjang 10 tahun sejak ditubuhkan pada 2013."

Kredit: Sinar Harian