Liga Super: Hajat pemain utama Kedah tidak kesampaian, seri bertemu Sri Pahang di Darulaman

Najmi Iman
September 20, 2024 22:55 MYT
KEDAH DARUL AMAN 2 SRI PAHANG 2
Selepas dibelasahi oleh Kuala Lumpur City minggu lalu, Kedah Darul Aman yang dibarisi pemain utama sekadar mengutip satu mata bertemu Sri Pahang dalam saingan Liga Super Malaysia di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.
Sri Pahang yang turun dengan momentum terbaik tatkala menang besar ketika bertemu PDRM minggu lalu terpaksa kehilangan mata meskipun banyak melakukan percubaan tepat ke arah gawang tuan rumah.
Percubaan Azwan Aripin sedikit terbias apabila rembatannya gagal menemui jaring Sang Kenari pada minit ke-26 sebelum giliran Sony Norde memberi masalah buat benteng pertahanan pasukan pelawat.
Kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam babak pertama.
Pemain kebangsaan, Sergio Aguero, memecahkan kebuntuan permainan apabila meletakkan Skuad Tok Gajah di depan susulan pergerakan Kpah Sherman berjaya mengelirukan pertahanan Kedah.
Berselang lima minit kemudian, Halim Saari melepaskan rembatan padu untuk menyamakan kedudukan 1-1 buat skuad kendalian Nafuzi Zain hasil daripada kesilapan benteng terakhir Sri Pahang yang lambat mengeluarkan bola.

KEPUTUSAN MASA PENUH – LS11#LigaSuper2024-25 #LigaMalaysia #DemiLigaKita pic.twitter.com/pk6zwIzGRJ

— Malaysian Football League (@MFL_MY) September 20, 2024
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Kegembiraan itu diteruskan dengan pemain berjersi nombor 11, Sukhrob Nurulloev, menggandakan kelebihan 2-1 buat Kedah yang menggelecek memperdayakan pemain Sri Pahang, sekali gus menewaskan penjaga gol, Azfar Arif Sukri.
Namun, kedudukan itu kian berubah selepas Kpah Sherman kembali menghidupkan peluang buat skuad Fandi Ahmad pada minit ke-78 mengikat aksi dramatik itu 2-2.
Tambahan masa empat minit tidak mengubah keputusan permainan sebaliknya kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.
#bola sepak #Liga Super Malaysia #Sri Pahang #Kedah Darul Aman #DemiLigaKita