Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) Thunderbolts selaku naib juara liga 2019 mengidam untuk sekurangnya-kurangnya menggenggam satu piala selepas kemarau hampir lima tahun.

Kali terakhir kabinet trofi mereka disinari dengan kejayaan adalah ketika menjulang Piala TNB pada 2016.

Kini berbekalkan sentuhan Sukri Mutalib sebagai pembantu jurulatih, semangat skuad yang dikemudi S Prakash itu semakin berkobar-kobar terutama dalam misi menamatkan dominasi unggul seteru dari Johor, iaitu Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Thunderbolts, menjelang Liga Hoki Remaja (LHR) 2021 yang bermula 26 November ini.

"Setiap pasukan ada harapan untuk jadi juara.

"Jika kami memberikan persembahan terbaik dan pada masa sama cuba mendapat kejuaraan pada tahun ini.

"Kami akan menghadapi kempen ini satu persatu perlawanan," kata Prakash.




Namun, SSBJ Thunderbolts mungkin terpaksa melupakan khidmat penyerang meningkat naik, Amirul Hamid Mamat yang kini masih dalam kuarantin selepas selesai tugasan dalam Kejohanan Piala Dunia Remaja di India, minggu lalu.

"Dia seorang pemain yang bagus dan berpengalaman luas.

"Saya harap dia dapat kembali dengan secepat mungkin." katanya lagi.

Sebanyak 25 pasukan mengesahkan penyertaan dan akan dibahagiakan kepada dua kategori yang menyaksikan divisyen pertama terdiri daripada lapan buah pasukan sementara baki yang lain akan beraksi dalam divisyen kedua.

Senarai pasukan bertanding:

MBPJ TIGERS
BJSS THUNDERBOLTS
SMKDBL-UNIKL-PHJ-MSNJ
SSTMI JUNIORS
SSTMI THUNDERBOLTS
AHP-SSP-MSP THUNDERBOLTS
SSMS RESILIENT
ANDERSON THUNDERBOLTS
MSN-PERLIS JR
MSNS/ PHS
KEDAH EAGLE JR
SMK TUNKU BESAR TAMPIN (TBSS)
MBPJ BLACK WIDOW
KELAB HOKI HOCKEYLAH
DBKL HT
PHNS/MSSNS-B16
SSN PERAK/ MSSPK
M.LIONS HC – MUTIARA IMPIAN
MSSPP – PSHA
ANDERSON JUNIORS
FRANCISAN HOCKEY CLUB
SARAWAKIAN JUNIOR TEAM
PPHT THUNDERBOLTS
NURINSAFI SPORTING
PHK-MSN KELANTAN