LHM: Wakili Malaysia keutamaan Shello Silverius
Shaiful Shamsudin
December 1, 2024 19:38 MYT
December 1, 2024 19:38 MYT
Pemain hoki padang negara, Shello Silverius, lebih cenderung untuk menyertai skuad kebangsaan berbanding kelab seandainya khidmatnya ditagih.
Kelab-kelab Liga Hoki Malaysia (LHM) dalam dilema berikutan pertembungan domestik dan Kejohanan Dunia Hoki Dalam Dewan di Croatia, Februari depan, namun Shello yang mewakili TNB menegaskan dia akan memberi keutamaan terhadap berbakti kepada negara.
"Sudah tentu mewakili negara menjadi keutamaan. Saya juga terlibat dalam Piala Dunia terdahulu di India.
"Kami juga sasar untuk melepasi pusingn kelayakan untuk Piala Dunia yang berikutnya," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.
Dalam pada itu, penyerang kelab TNB, Muhammad Azrai Aizad, meletakkan sasaran untuk mempertahankan gelaran 'treble' dalam saingan LHM yang akan membuka tirai bermula 4 Januari hingga 22 Februari depan.
Setakat ini, persiapan mereka meniti landasan tepat selain dalam usaha memperbaiki beberapa kepincangan dalam corak permainan mereka.
"Saya mahu membantu TNB mengekalkan kejuaraan 'treble'. Secara peribadi pula, saya mahu menjadi penjaring terbaik buat kali ketiga.
"Saya perlu berlatih dan lebih tajam di depan gol," katanya pula.