Penantian yang cukup mendebarkan untuk kita ketahui siapakah antara dua atlet ini yang akan layak ke Final Jelajah Dunia BWF 2023 nanti.
8 pemain terbaik bagi setiap kategori bakal bertarung sememangnya menjadi buruan dan impian setiap atlet badminton yang berkelas dunia.
Buat masa ini kita punya 2 atlet negara yang terbaik untuk merebut slot ini kerana masing-masing berada dalam ranking 15 terbaik dunia. Ini adalah prestasi semasa bagi kedua-dua atlet ini.
1. Ng Tze Yong
Pemain perseorangan Malaysia yang semakin meningkat naik. NG Tze Yong melalui musim yang memberangsangkan untuk mara ke final Terbuka Artik dan ke separuh akhir Terbuka Perancis.
Walaupun dia tidak mempunyai apa-apa gelaran untuk rekod peribadinya, dia telah menunjukkan prestasi yang agak baik secara konsisten menentang pemain-pemain di ranking teratas dengan pernah mengalahkan perseorangan lelaki nombor satu dunia, Victor Axelsen.
Pada masa ini pemain muda itu berada di kedudukan ke-15 ranking dunia BWF dan berada di tempat kelapan dengan 73,180 mata dalam ranking Final Jelajah Dunia BWF.
2. Lee Zii Jia
Selepas berehat dengan begitu lama untuk kecergasan mental dan fizikal, pemain perseorangan lelaki nombor satu Malaysia itu kembali ke gelanggang dengan prestasi cemerlang.
Lee Zii Jia terus mara ke separuh akhir Terbuka Australia dan kemudian berjaya memenangi gelaran Terbuka Artik dengan menewaskan rakan senegara NG Tze Yong.
Zii Jia seterusnya mara ke final Terbuka Denmark namun terpaksa akur tewas kepada Weng Hong Yang dari China. Dengan 69,460 mata secara keseluruhan dalam ranking BWF World Tour Finals meletakkan Zii Jia kini di tempat ke-11.
Lee Zii Jia perlu mengumpul mata sebanyak mungkin dalam kejohanan terakhirnya di Masters China.
Perang saudara nampaknya akan berlaku bila mana Zii Jia akan menentang Tze Yong pada pusingan awal minggu depan di Masters China 2023.
Apapun keputusan yang dijelmakan buat kedua-dua pemain ini, sebagai rakyat Malaysia kita perlu sentiasa beri sokongan buat mereka melangkah lebih jauh dalam setiap kejohanan yang disertai.
Jika diberi hak untuk memilih tanpa sebarang syarat untuk beraksi di Final Jelajah Dunia BWF, siapakah yang anda rasa layak untuk beraksi di kejohanan ini?
Lee Zii Jia atau Ng Tze Yong?