Lee Zii Jia akui perlu segera sesuaikan diri dengan kaedah latihan Wong Tat Meng
Muzaffar Musa
July 11, 2023 20:41 MYT
July 11, 2023 20:41 MYT
Perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia, yang sekian lama menyepi, kini tampil berkongsi mengenai sesi latihannya bersama jurulatih baru, Wong Tat Meng.
Dia mengakui perlu segera menyesuaikan diri dengan kaedah latihan Tat Meng memandangkan dia akan kembali bersaing dalam Kejohanan Badminton Terbuka Korea Selatan pada 18 Julai ini.
Sebelum ini, juara Kejohanan All England 2021 itu membuat kejutan apabila memilih untuk berehat seketika daripada kejohanan antarabangsa selepas kekalahannya di peringkat awal Terbuka Indonesia pada bulan lalu.
"Sebenarnya ia satu permulaan baru. Harap-harap saya dapat sesuaikan diri dengan apa yang jurulatih Tat Meng ajar secepat mungkin kerana kami sudah tiada masa," katanya kepada wartawan Astro Arena, Muiz Aziz.
"Dia merupakan seorang jurulatih yang sangat berpengalaman, jadi harap-harap kami akan memiliki persefahaman yang istimewa.
"Dia sudah menjadi jurulatih sewaktu zaman (Datin) Wong Mew Choo lagi dan kami sedar dia juga pernah berkelana di Korea Selatan dan Hong Kong dengan keputusan yang sangat bagus.
"Faktor lain adalah dia merupakan jurulatih tempatan kerana saya sentiasa berharap memiliki seorang jurulatih tempatan agar kami dapat meneruskan misi (pingat emas) dalam Sukan Olimpik dengan motivasi yang sama," katanya.