Wajah sugul pengendali Kedah, Tan Cheng Hoe, gagal disembunyikan selepas hasrat membawa pulang tiga mata gagal dilaksanakan malam tadi selepas pertembungan dengan Perak di Ipoh berkesudahan seri 1-1.

Pemain tengah, Baddrol Bakhtiar, muncul penyelamat Kedah dalam babak kedua apabila memadamkan kelebihan tuan rumah yang mendahului menerusi jaringan Hafiz Kamal.

Tewas dalam dua aksi terdahulu, Cheng Hoe mengharapkan nasib lebih memihak Kedah.

Namun, segalanya tampak sukar buat Lang Merah yang terpaksa bertungkus-lumus untuk merobek gawang lawan di Stadium Perak.

Gagal menyempurnakan beberapa peluang terbuka, jaringan penyamaan Baddrol ibarat penyelamat buat Kedah yang tidak rela tewas buat kali ketiga berturut-turut.

"Tahniah kepada Baddrol Bakhtiar kerana golnya itu merupakan salah satu sepakan percuma yang terbaik musim ini.

"Kami kembali mendapat rentak sebenar dengan corak menguasai perlawanan.

"Saya harap untuk perlawanan akan datang, kami dapat tampil lebih yakin," ujarnya.

Sementara itu, kapten Kedah, Khairul Helmi Johari, melabelkan keadaan padang yang basah dan lembut di Stadium Perak menyukarkan corak permainan mereka yang menerapkan hantaran pendek.

Bagaimanapun, dia lega kutipan satu mata umpama motivasi terbaik menjelang aksi separuh akhir Piala FA bertemu Terengganu, Ahad nanti.

"Keadaan padang sedikit lembab susulan hujan turun lebih awal sehingga menjejaskan permainan kami.

"Ini menyukarkan corak hantaran pendek yang diamalkan kami," kata pemain pertahanan itu.