LA 2028: Azizulhasni pilih beraksi atau tidak?

Muzaffar Musa
September 8, 2024 17:47 MYT
Legenda berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, memberikan bayangan awal mengenai titik noktah kariernya selaku atlet apabila membuat keputusan untuk tidak beraksi dalam Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Walaupun belum mengumumkan secara rasmi persaraannya, kenyataan Azizulhasni kali ini merupakan petanda paling jelas bahawa dia sudah mempunyai perancangan mengenai masa depannya.
Seperti tidak lagi akan beraksi sebagai atlet, Azizulhasni sedia membantu pelumba muda negara dalam memastikan misi emas Sukan Olimpik LA 2028 dapat diteruskan.
"Apapun, saya mahu pulang ke Melbourne untuk bersama keluarga saya dan berbincang mengenainya," katanya seperti dilaporkan wartawan Astro Arena, Zaki Zainal.
"Tetapi saya tidak nampak diri saya akan ke LA 2028 sebagai atlet.
"Saya tidak tahu, mungkin saya boleh cuba membantu Shah Firdaus (Sahrom, atlet berbasikal trek negara) dan adiknya, Ridwan, apa sahaja yang saya boleh untuk tolong mereka.
"Tetapi LA sudah pasti tidak untuk saya," katanya.
Azizulhasni, yang ditemui dalam Majlis Meet & Greet di sebuah pusat membeli belah terkemuka di Putrajaya, bagaimanapun berkata dia akan berbincang dengan jurulatihnya, John Beasley, untuk mendapatkan padangan dan nasihat sebelum keputusan muktamad diambil.
"Saya mahu berbincang dengan John dahulu, dengan YB Hannah Yeoh (Menteri Belia dan Sukan) dan MSN (Majlis Sukan Negara) untuk merancang masa depan saya.
"Sebab ada terlalu banyak tawaran, bukan sekadar di Malaysia, di luar juga ada.
"Tetapi masih terlalu awal untuk membuat keputusan ke arah itu kerana saya juga masih 36 tahun," tambahnya
Sebagai rekod, Azizulhasni menamatkan kempen Sukan Olimpik Paris 2024 tanpa sebarang pingat selepas dibatalkan penyertaan dalam pusingan pertama acara keirin atas kesalahan memintas derny terlalu awal.
#Azizulhasni Awang #Berbasikal #Sukan Olimpik #Berbasikal trek #Paris 2024