Pengendali Perak FC, Yusri Che Lah, sukar menerima kekalahan besar kepada Kuala Lumpur (KL) City FC ketika pasukannya memerlukan mata untuk terus kekal bersaingan dalam Liga Super.

Dia tidak menjangkakan keputusan seperti itu memandangkan kesebelasan pemain diturunkan tidak jauh berbeza dengan dua perlawanan sebelumnya.

Menurutnya, kekalahan tersebut disifatkan sebagai satu hikmah untuk pasukan memperbaiki kelemahan menjelang perlawanan berikutnya.

"Saya berasakan hari ini kami beraksi di bawah paras sebenar. Itu memang kami akui. Terima kasih kepada KL kerana memberikan gambaran sebenar kepada kami tentang kelemahan yang perlu diperbaiki.




"Kami memang inginkan tiga mata sebenarnya. Kalau tidak dapat memenangi perlawanan ini, sekurang-kurangnya kami seri, itu lebih memadai tapi kami perlu akui kami kalah dengan pasukan yang kuat dan hebat," katanya kepada pemberita selepas perlawanan Liga Super di Stadium Perak di Ipoh malam tadi.

Dalam pada itu, Yusri mahu pemain segera bangkit di sebalik kekalahan itu bagi mengharungi baki perlawanan akan datang.

Menurutnya, kerja keras perlu dilakukan untuk memastikan kelemahan dapat diatasi segera.

Jelasnya, tempoh rehat selama tiga minggu akan dimanfaatkan sebaik mungkin menjelang pertemuan dengan Sabah FC di Likas, 15 September depan.

Kredit: Sinar Harian