Kem Badminton Astro Kasih ESG: Peserta cilik berguru dengan jurulatih berpengalaman negara
Saufi Tahir
December 18, 2024 19:12 MYT
December 18, 2024 19:12 MYT
Jurulatih perseorangan remaja wanita negara, Sylvia Kavita Kumares, mengakui peserta Kem Badminton Astro Kasih ESG bertuah kerana dapat menikmati pengalaman umpama seorang pemain kebangsaan.
Ini susulan kem latihan yang berlangsung selama lima hari di Akademi Badminton Malaysia (ABM) itu menyaksikan semua 10 peserta dapat berguru dengan jurulatih berpengalaman negara.
"Jika saya meletakkan diri saya di tempat mereka ia merupakan peluang sekali seumur hidup, bukan semua pemain berusia 12 tahun dapat pengalaman ini.
"Buat mereka ia merupakan latihan untuk menjadi pemain kebangsaan dengan persekitaran dan suasana serta rutin jadi mereka boleh memilih. Mereka sangat bertuah." katanya.
Selain Sylvia, seorang lagi jurulatih remaja kebangsaan, Aaron Lee Inbaraj menjadi tenaga pakar untuk program kem badminton kali ini.
Kedua-duanya telah memberikan pemantauan khusus terhadap peserta cilik ini yang diberikan pendedahan latihan mirip pemain skuad kebangsaan.
Program itu semestinya akan memberikan manfaat kepada peserta yang mengambil bahagian selain turut dapat melihat dengan lebih dekat pemain-pemain negara yang sedang berlatih di ABM.
"Ini adalah satu pengalaman yang bagus kerana bukan sahaja berlatih di ABM tetapi dapat melihat pemain kebangsaan yang sedang berlatih.
"Ini akan menambah semangat mereka semasa berlatih dan saya dapat lihat motivasi mereka sangat tinggi." tambahnya.