Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia: Taktikal Pan-gon penentu nasib Harimau Malaya


June 4, 2024 09:22 MYT
Kepakaran taktikal ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon, akan menjadi penentu kepada corak persembahan yang akan dipamerkan pemain negara ketika berdepan Republik Kyrgyz di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek pada Khamis ini.
Bekas pemain tengah kebangsaan, Reezal Zambery Yahya, berkata kehilangan ramai pemain utama Harimau Malaya sudah tentu akan memberikan kesan tetapi ia harus dipandang positif oleh semua pihak.
Menurutnya, kepakaran Pan-gon untuk mencatur pemain yang ada di posisi tertentu yang kritikal bakal memastikan skuad negara berpeluang membawa pulang tiga mata dalam aksi Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 itu.
“Bola sepak sememangnya satu sukan berisiko, iaitu terpaksa kehilangan pemain akibat kecederaan dalam perlawanan genting. Tetapi peluang untuk kita masih ada dan terbuka. Mahu tak mahu kita kena menang.
“Pan-gon perlu menyesuaikan taktikalnya dengan pemain yang ada sekarang ini. Saya yakin, sebelum dia memanggil pemain yang ada ketika ini, dia sudah tentu sudah mengkaji persembahan setiap pemain.
“Jadi, kita perlu percaya kepada kemampuan pasukan dan idea magis Pan-gon itu untuk membentuk pasukan yang mantap,” katanya..
Sebelum ini, skuad negara kehilangan beberapa pemain utama Faisal Halim, Arif Aiman Hanapi, Romel Morales, Azam Azmi Murad, Darren Lok, Syafiq Ahmad dan Ahmad Syihan Hazmi, yang mengalami kecederaan.
Ia menyebabkan Pan-gon terpaksa memanggil pemain lain dan berdepan kesukaran di beberapa posisi seperti sayap kiri dan kanan, yang sebelum ini diisi oleh Faisal dan Arif Aiman.
Reezal, yang juga penolong jurulatih Kelantan Darul Naim, berkata kehadiran ramai muka baru bakal menjadi senjata rahsia buat pasukan.
"Sebelum ini, kita pernah menentang Kyrgyzstan di Bukit Jalil dan sudah tentu mereka sudah tahu dengan kualiti pemain serangan kita.
“Apabila ada pemain baru ini, mereka bagaikan senjata rahsia untuk Pan-gon dan pasukan lain sudah tentu tidak dapat membaca persembahan pemain baru ini ditambah dengan strategi berbeza daripada Pan-gon,” katanya.
Selepas bertemu Republik Kyrgyz, skuad negara akan menutup aksi Kumpulan D dengan menentang Chinese Taipei di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Jun ini.
Harimau Malaya perlu meraih kemenangan dalam dua baki perlawanan ini untuk membuka peluang mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan layak secara merit ke Piala Asia 2027.
--Sinar Harian
#bola sepak #Harimau Malaya #Piala #Kelayakan Piala Asia #Dunia #Kim Pan-gon #'Kelayakan
;