Ketua jurulatih skuad B-19 negara, Hassan Sazali Waras memberi bayangan akan mengekalkan 90 peratus pemain sama ketika memenangi Kejohanan AFF B-19 pada Julai lalu bagi menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia B-20 di Ulaanbaatar, Mongolia bermula Rabu depan.

Jurulatih kelahiran Perak itu dijangka akan mengumumkan senarai akhir 23 pemainnya yang akan menggalas cabaran negara dalam kempen itu pada Sabtu ini.

Malaysia diletakkan dalam Kumpualan E bersama tuan rumah, Mongolia, selain Korea Selatan dan Sri Lanka.

Hanya juara kumpulan dan lima pasukan di tangga kedua terbaik akan layak ke kejohanan utama di Uzbekistan, Mac tahun depan.

Hassan berkata kepada wartawan Nadi Arena, Fadhirul Shuhaimi: "Daripada 26 pemain, kami akan menyenarai akhir 23 pemain yang akan diumumkan sehari sebelum kami berlepas ke Ulaanbaatar, Mongolia.

"Boleh dikatakan ia merupakan 80 hingga 90 peratus daripada pemain kami yang beraksi dalam Kejohanan AFF sebelum ini dan selebihnya daripada pemain yang kami kenal pasti sewaktu dalam kejohanan jemputan di Vietnam.

"Saya juga difahamkan bahawa kami akan beraksi dalam kondisi yang sama sewaktu di Mongolia cuma yang agak membimbangkan adalah keadaan cuaca di sana.

"Tetapi dengan ketibaan awal dua hari sebelum sepak mula, saya berharap pemain dapat segera beradaptasi dengan cuaca di sana," katanya.