HONGYEN THAKAM 6 SELANGOR MAC 2

Kelab Thailand, Hongyen Thakam, membuktikan kehandalan mereka dalam Kejohanan Kelab Futsal AFF apabila menundukkan Selangor MAC 6-2, petang tadi.


Wakil tuan rumah yang belum pernah tewas itu bermula garang dengan membuka jaringan seawal minit ke-6 menerusi Katawut Phoopan selepas aksi kucar-kacir di depan gawang Selangor.

Selepas melancarkan percubaan bertali arus, Selangor MAC akhirnya meledak jaringan penyamaan menerusi rembatan Akmal Yazadh.




Menuju ke bilik persalinan, juara berganda Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) itu dipersalahkan dengan kekasaran yang tidak sepatutnya hingga memaksa pengadil memberi kelebihan sepakan percuma dan peluang tersebut dimanfaatkan sepenuhnya menerusi percubaan Veiga Neto untuk kembali menjarakkan kedudukan.

Selangor MAC tidak memerlukan masa yang lama untuk mengimbangi kedudukan dan kali ini menerusi satu situasi bola mati dengan penyudah sempurna Matheus Silva.

Tapi Hongyen menyusun dua gol serangan balas untuk menjadikan kedudukan 4-2.

Malang terus menimpa Selangor MAC apabila makin longlai untuk lawan menokok dua gol lagi sekali gus menempah slot ke final berdepan skuad Bintang Timur Surabaya, Sabtu ini, sementara anak buah Alberto Aranha itu berkesempatan mengulangi pencapaian edisi tahun lalu apabila bertemu Sahako -- kelab Vietnam yang menewaskan mereka 1-2 di peringkat Kumpulan B, dua hari lalu.