Kejohanan Dunia: Chong Wei berdepan kejutan
Penulis Jemputan
July 17, 2018 18:56 MYT
July 17, 2018 18:56 MYT
Undian Kejohanan Dunia 2018 dilihat menampilkan beberapa kejutan, antaranya pemain nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei, terpaksa memulakan pemburuan kejuaraan berdepan individu sama yang menyingkirkannya ketika pusingan pertama edisi lalu.
Dalam aksi di Glasgow, Scotland pada 2017, Brice Leverdez mencipta sensasi apabila menyingkirkan Chong Wei menerusi pertarungan tiga set.
Senario undian kali ini juga mirip musim lalu setelah Chong Wei sebagai pilihan kedua, berada dalam kelompok bawah membabitkan 48 pemain keseluruhan.
Kelompok undian ini turut menawarkan kemungkinan cabaran daripada dua perseorangan utama Indonesia serta kebarangkalian pertemuan dengan bintang dunia yang sedang meningkat naik dari Jepun, Kento Momota, dalam separuh akhir buat Chong Wei.
"Saya yakin dia mampu melepasi pusingan pertama. Walaupun bakal berdepan Momota dalam separuh akhir, saya tetap gembira kerana sasaran utama Chong Wei adalah bergelar juara.
"Tiada guna jika dia hadir ke kejohanan untuk menjadi naib juara. Untuk menjadi juara, lebih baik dia bertemu Momota lebih awal. Peluang masih ada apabila berdepan Momota.
"Saya harap kejohanan ini menjadi kebangkitan badminton Malaysia, terutama perseorangan wanita. Sudah tentu sasaran utama adalah menjadi juara dunia. Malaysia memerlukannya," kata Setiausaha Kehormat Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Ng Chin Chai.
Sementara itu, ratu beregu campuran negara, Goh Liu Ying, berpendapat mereka hadir ke Kejohanan Dunia tepat pada waktunya.
Mereka bakal ke Nanjing, China sebagai pilihan kelapan dunia, seminggu selepas kembali berada dalam kelompok 10 terbaik dunia sejak setahun lalu.
Undian bagi kempen kali ini menyaksikan mereka beraksi di samping dua lagi rakan sepasukan, Goh Soon Huat-Shevon Lai serta Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.
"Pada mulanya, saya hanya mahu melayakkan diri dan melakukannya pada saat-saat akhir. Selepas melihat undian, saya rasa kami berpeluang tetapi saya dan Peng Soon mahu mengharunginya satu demi satu," ujar Liu Ying.
Dalam masa sama, khabar gembira turut menyusul dalam skuad negara apabila gandingan Liu Ying, Chan Peng Soon, dilaporkan menyambut kelahiran anak ketiga.
"Saya gembira kerana setiap kali dalam kejohanan, dia merindui isteri dia, takut tidak dapat berada di sisi dan membuatkannya tidak senang hati.
"Dia baru memberitahu saya semalam dan kini dia sudah lega. Jadi, kini dia boleh fokus untuk Kejohanan Dunia," kata Liu Ying.