Menjelang Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC), Olimpian negara, Datuk Azizulhasni Awang, mengesahkan yang dia hanya akan bertanding dalam dua acara iaitu keirin dan pecut individu.

Keputusan itu diambil bagi memberi laluan kepada pelumba muda dalam acara berpasukan sekaligus Fadhil Zonis akan berganding dengan Umar Hasbullah dan Muhammad Ridwan Sahrom dalam misi mengumpul mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris.

Ia merupakan langkah diambil bagi mencerahkan peluang Azizulhasni dalam pemburuan pingat emas bagi acara keirin dan pecut individu di Nilai.

"Ini merupakan penampilan terakhir dalam saingan ACC. Saya mahu menggunakan peluang ini untuk mengutip mata melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris," kata Azizulhasni.

Sementara itu, Azizulhasni mengakui isu yang melanda dirinya ada menjejaskan tumpuannya menjelang ACC.

Bagaimanapun, dia enggan perkara ini berterusan memandangkan penyelaras projek "Road to Gold", Datuk Stuart Ramalingam, sudah menghubunginya untuk untuk mencari jalan penyelesaian.

"Semestinya, apa yang telah berlaku sejak kebelakangan ini ia telah memberikan kesan kepada kerana saya sendiri tidak berhenti memikirkan situasi yang perlu dihadapi ini. Namun saya cuba untuk memastikan tidak mengganggu fikiran dan mula mendapatkan rentak dalam kejohanan di Nilai."