Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menjawab berkenaan isu permukaan padang yang kurang memuaskan di Stadium Nasional Bukit Jalil berikutan masalah rumput yang masih berpanjangan.

Terbaru, skuad kendalian Kim Pan Gon bergelut untuk menjelmakan aksi tebaik mereka dengan pemain pertahanan negara, Azam Azmi Murad yang menjadi mangsa kualiti padang yang teruk sehingga dilanda kecederaan teruk.

Malah, Hannah turut memberikan penjelasan berkenaan masa depan Hans Isaac yang dijangka kekal sehingga tamat kontrak dua tahun pada Jun depan melainkan ahli lembaga pengarah Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), memutuskan sebaliknya nanti.

"Selepas konsert Coldplay kami telah dapatkan khidmat nasihat daripada pakar rumput dari Australia.

"Begitu juga selepas konsert Ed Sheeran, rumput memang dipantau rapi oleh pakar.

"Selepas perlawanan semalam kami akan membuat penilaian terlebih dahulu, saya akan bermesyuarat kerana saya ingin melihat ada penambahbaikan.

"Hans Isaac dilantik untuk tempoh dua tahun, saya percaya segala keputusan bergantung pada Ahli Lembaga Pengarah." katanya.