Kapsul Allianz: Tiada hala tuju selepas kemalangan, Fareez Anuar hampir putus asa dalam badminton
Najmi Iman
November 28, 2024 14:41 MYT
November 28, 2024 14:41 MYT
Jaguh perseorangan lelaki SU5 negara, Fareez Anuar, hampir berputus asa dalam arena sukan badminton selepas menghadapi liku kehidupan yang mencabar sebelum membuat kemunculan sulung dalam Sukan Paralimpik Paris 2024, September lalu.
Kehadiran Allianz menghidupkan kembali perjuangan Fareez Anuar yang menganggap itu sebagai peluang kedua untuk meneruskan minatnya dalam badminton.
Ekoran kebangkitan yang membanggakan itu, penampilan pertamanya dalam pentas tertinggi dunia berkenaan hampir membutirkan kilauan pingat gangsa, namun disekat oleh lawan dari Indonesia, Dheva Anrimusthi.
"Saya kemalangan ketika 15 tahun sewaktu ingin pergi ke kedai dan waktu itu hujan. Jalan basah sehingga saya keluar simpang terlanggar kereta berhampiran.
"Fizikal belah kanan saya hilang keupayaan (potensi berkurangan) menyebabkan saya berpendapat bahawa saya sudah tiada hala tuju selepas habis sekolah.
"Saya kecewa, kesal kerana tidak boleh bermain badminton lagi," katanya dalam temu bual bersama wartawan Astro Arena, Karl Nunis.
Detik Cheah Liek Hou di Paralimpik Tokyo 2020 cetus minat Fareez Anuar kembali ke gelanggang badminton! ????#AllianzMalaysia #NadiArena #AstroArena pic.twitter.com/6SKRAApVDh
— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) November 27, 2024
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Begitupun, sesuatu tidak diduga mengubah keseluruhan hidupnya apabila menyaksikan pertandingan badminton dimainkan dalam edisi terdahulu, Sukan Paralimpik Tokyo 2021 mengakibatkannya mahu menceburi semula permainan tersebut.
"Saya bekerja di Legoland, Johor sebagai penghantar makanan dan perasan sukan badminton dimainkan di Paralimpik Tokyo. Daripada situ saya menanam impian mahu bermain badminton semula.
"Allianz memberi peluang kedua kepada saya selain ia menghidupkan semangat untuk mengembalikan karier saya. Saya gunakan sokongan itu sebaik mungkin," katanya lagi.