Johor Darul Ta'zim (JDT) terus mengekalkan penguasaan sebagai kelab terbaik di Asia Tenggara menerusi kedudukan terkini dikeluarkan oleh laman Opta Analyst.

Berdasarkan kemas kini terbaru pada semalam, skuad Harimau Selatan itu memungut 75.2 mata meninggalkan pencabar terdekat, iaitu kelab dari Thailand, Buriram United, dengan 71.9 mata dan Bangkok United (70.5 mata).

Dalam ranking Asia pula, JDT kekal berada di kedudukan ke-14 dan kedudukan ke-317 daripada 13,448 pasukan yang dihimpunkan Opta Analyst dari seluruh dunia.

Kedudukan JDT itu semakin jauh meninggalkan pasukan dari Malaysia yang lain dengan Selangor masih lagi sebagai pesaing utama skuad Harimau Selatan itu.

Selangor memungut 65.2 mata di kedudukan ketujuh di ASEAN dan 1,407 dunia disusuli Terengganu dengan 62.9 mata di kedudukan ke-10 ASEAN dan berada di ranking 1,824 dunia.

Sabah juga berada dalam senarai 20 pasukan terbaik ASEAN di kedudukan ke-16 dan ke-1,969 dunia.

JDT menyingkap kempen saingan Liga Malaysia (Liga-M) dengan kemenangan trofi pertama, iaitu Piala Sultan Haji Ahmad Shah, selepas Selangor menarik diri susulan kes Faisal Halim disimbah asid.

Juara 10 kali Liga Super itu juga dijangka tidak akan berdepan masalah untuk sekali lagi menakluk saingan Liga-M musim ini selepas kejayaan cemerlang menggondol semua kejuaraan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia musim lalu.

Selain itu, JDT juga bakal beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE).

--Sinar Harian