Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, berkata pasukan Harimau Selatan itu antara faktor utama nilai komersial industri bola sepak di Malaysia meningkat.

Menurut Tunku Ismail, ia adalah fakta yang sukar untuk disangkal menerusi beberapa kejayaan yang telah dibuktikan juara sembilan kali Liga Super itu di pentas domestik mahupun di peringkat antarabangsa.

"Tiada JDT tiada liga, tiada duit untuk hak penyiaran buat pasukan, tiada penuhkan stadium pasukan lain, tiada fasiliti terbaik buat pasukan kebangsaan, tiada kelab Malaysia di Liga Juara-Juara Asia dan tiada berita.

"JDT mengukuhkan nilai komersial industri bola sepak Malaysia. Fakta," kata Tunku Ismail menerusi satu komen di laman Instagram rasmi kelab itu semalam.

Aura JDT dalam saingan liga domestik sememangnya tidak dapat dinafikan, di mana aksi pasukan itu sentiasa mendapat perhatian peminat bola sepak tempatan.

Malah, perlawanan membabitkan Harimau Selatan di semua platform Astro mengungguli rating tontonan, sekali gus memberikan nilai tambah dalam pembayaran hak penyiaran kepada semua pasukan.

Di pentas Asia, JDT merupakan satu-satunya pasukan dari Malaysia yang beraksi dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan musim lalu, mereka mencipta sejarah mara sehingga pusingan 16 kejohanan itu.

Ia merupakan kejayaan luar biasa dicapai JDT dan membuka mata ramai pihak mengenai kekuatan pasukan dari Malaysia.

Kredit: Sinar Harian