JDT akan beraksi 'away' di SSI

Afiq Azfar
September 13, 2024 11:58 MYT
Johor Darul Ta'zim (JDT) dijadualkan untuk beraksi sebagai pasukan pelawat dalam aksi Liga Super minggu ke-11 bertemu Kelantan Darul Naim FC (KDN).
Kelantan DN menerusi presidennya, Rozi Muhamad memohon untuk menggunakan Stadium Sultan Ibrahim (SSI) sebagai venue tuan rumah susulan Stadium Sultan Muhammad IV masih dalam proses naik taraf padang sehingga pertengahan Oktober depan.
Menerusi kemaskini terbaharu oleh pengelola liga bola sepak Malaysia, Malaysia Football League (MFL) mengesahkan permohonan tersebut dengan meminda venue asal dari Stadium Sultan Muhammad IV ke Stadium Sultan Ibrahim yang dijadualkan berlangsung pada 22 September 2024.
Antara sebab mengapa pihak Kelantan Darul Naim FC memilih SSI sebagai venue adalah disebabkan faktor penjimatan kos pengurusan kerana perlawanan mereka seterusnya akan berlangsung di Stadium Paroi, Negeri Sembilan.
“Oleh kerana lokasi kedua-dua venue berada berdekatan maka KDN FC bersetuju mengalihkan perlawanan ke SSI kerana dapat menjimatkan kos pengurusan", ujar Rozi Muhamad.
Gambar: Johor Southern Tigers
#JDT #Liga Super Malaysia #stadium sultan ibrahim #KDN