"Isu rasuah dalam industri sukan seperti bola sepak belum reda," kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azam Baki, dalam majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) dan PKNP FC di Ipoh, petang tadi.

"Ini peringatan kepada semua. Kami pasti akan memerangi dan mencegahnya daripada berlaku."

Menurutnya, kerjasama dengan persatuan sukan lebih berkesan kerana mereka lebih dekat dan terlibat secara langsung.

"Bagi menjauhi rasuah, elakkan daripada berhubung dengan mereka yang terlibat di dalam perjudian. Tingkatkan integriti dalam diri dan ia sekaligus mampu meningkatkan tahap pembangunan sukan bola sepak.

"Apa yang penting, masyarakat terutama peminat, akan yakin kepada kita," katanya.

Seramai 380 anggota daripada Ahli Jawatankuasa Exco PAFA, pengurusan serta pemain-pemain pasukan bola sepak di bawah PAFA dan PKNP FC melafazkan ikrar berkenaan.