Ketua jurulatih PDRM FC, Azzmi Aziz, lega dengan kembalinya tonggak pertahanan import, James Okwuosa, bersama pasukan selepas bebas daripada penggantungan berikutan insiden pergaduhan dengan pertahanan Kuala Lumpur City, Giancarlo Gallifuoco.

Kehadiran Okwuosa semestinya menawarkan lebih banyak ruang buat Azzmi bagi merencanakan taktikal The Cops.

"PDRM bebas kecederaan. Selain itu Ramadhan Hamid (penjaga gol) juga sudah kembali, begitu juga James yang terlepas perlawanan terakhir.




"Dia juga akan menyertai pasukan dan akan bermula dalam perlawanan esok.

"Kehadirannya sangat membantu dengan menstabilkan pertahanan kami.

"Kehadirannya memberi kesan positif kepada kami untuk lebih yakin memberi tekanan tinggi kepada pihak lawan," katanya di Nadi Arena.

Dalam perkembangan sama, dia turut mengingatkan anak buahnya berwaspada ketika bertandang ke Kelantan FC yang pastinya mahu bangkit mencatat kemenangan kedua Liga Super di laman sendiri musim ini.

"Kelantan FC masih pasukan yang baik jadi kami masih perlu bermain dengan berhati-hati," katanya.