Ivan Mamut kembali menjelang tempoh getir Terengganu

Shaiful Shamsudin
December 27, 2024 19:07 MYT
Ketua jurulatih Terengganu, Badrul Afzan Razali, mengakui tugas sukar menanti pasukannya berikutan jadual padat yang bakal dihadapi bermula awal tahun depan.
Skuad Peteh dijadualkan berdepan tiga kelab gergasi dalam dua kejohanan berbeza, bermula dengan aksi di peringkat Kumpulan A Shopee Cup bertemu wakil Myanmar, Shan United, di tempat lawan 8 Januari sebelum kembali ke Gong Badak berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam separuh akhir pertama Unifi Piala Malaysia, 17 Januari depan.
Berselang lima hari kemudian, Sang Penyu menanti kunjungan PSM Makassar untuk perlawanan keempat Shopee Cup pada 22 Januari.
Pengendali berusia 48 tahun itu, bagaimanapun, percaya 24 pemain yang ada dalam skuadnya ketika ini mampu untuk tampil sehabis baik bagi membawa Terengganu mara jauh dalam setiap kejohanan yang disertai.
"Kami akan menghadapi saingan yang sukar bermula Januari depan sampai hujung musim.
"Kami belum memenangi sebarang perlawanan dalam Shopee Cup selepas seri sekali dan kalah sekali.
"Saya mahukan kemenangan ke atas Shan United," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.
Dalam perkembangan sama dia turut mengesahkan penyerang import kelahiran Croatia, Ivan Mamut, akan kembali menyertai pasukan pada bulan depan berikutan sembuh daripada kecederaan tumit.
"Saya mengharapkan dia bersedia terutama dalam latihan.
"Walaupun lama tidak tengok dia, saya harap dia dapat sertai latihan walaupun keadaannya tidak begitu baik.
"Kami perlu tengok dulu adakah dia sudah bersedia ataupun tidak. Hampir setahun dia tidak bermain,. Kerisauan saya adalah kalau dia tidak jadi, dia masih (perlukan) jalani pemulihan," katanya.
#liga super #Liga-M #Piala Shopee
;