Pengurus, Sukri Mutalib, menjangka hoki lima sepasukan (5s) akan menjadi fenomena baru dan tidak mustahil akan diketengahkan dalam Sukan Olimpik.

Skuad negara melakar kejutan apabila muncul naib juara Piala Dunia Hoki 5s di Muscat, Oman, minggu lalu di sebalik perjalanan penuh berliku dalam mempersiapkan pasukan, lebih-lebih lagi dihimpit masalah kewangan.

"Saya harap hoki 5s akan ditolak ke Sukan Olimpik sebab kosnya lebih rendah kerana melibatkan 10 pemain.

"Ia melibatkan kelajuan, banyak gol dan detik menarik.

"Bola akan melantun semula dari tepi gelanggang tapi permainan ini memerlukan stamina yang tinggi," katanya sebagai tetamu Nadi Weekend di samping Mohamad Akhimullah Anuar Esook.

Skuad itu menarik perhatian berikutan faktor kewangan yang terhad termasuk pengorbanan besar ketua jurulatih, Wallace Tan, yang tidak menerima gaji.

"Kami ada kekangan tapi kami mahu mencabar di peringkat dunia.




"Kami ikhlaskan hati dan beri komitmen 100 peratus. Contohnya pembantu jurulatih, Wan Roslan Qan Rahman, yang sanggup berulang -alik dari Johor setiap minggu.

"Kami tidak jangka menang ke atas Poland yang merupakan pasukan pilihan.

"Dari awal lagi sasaran kami adalah suku akhir sebab cabarannya tinggi.

"Oman contohnya menjadi pencabar yang kuat sebab ambil rentak hoki padang. Dalam kalangan 18 pemain, 10 pemain terbaik mereka adalah daripada hoki padang.

"Pasukan Oman di ranking ketiga dunia, Trinidad dan Tobago yang kami bertemu juga pasukan handalan.

"Mereka mempunyai kelebihan berbadan besar kerana boleh membuat pukulan kuat di depan gol," katanya lagi.