Hendrawan: Sukan Komanwel, Sukan Asia jadi keutamaan

Penulis Jemputan
March 13, 2018 19:45 MYT
Jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan, menegaskan tiada tekanan buat Datuk Lee Chong Wei mempertahankan kejuaraan Seluruh England kerana ada dua kejohanan lain yang menjadi keutaamannya tahun ini.
Perseorangan negara, Chong Wei, dalam misi merangkul kejuaraan Seluruh England buat kali kelima, sekali gus bakal mengangkat dirinya selaku pemain negara paling banyak mendakap kejohanan berprestij dunia ini.
Bagaimanapun, jurulatihnya, Hendrawan, menyifatkan Sukan Komanwel dan Sukan Asia menjadi keutamaan kerana saingan tersebut hanya hadir dalam tempoh empat tahun sekali.
"Kejohanan yang utama buat Chong Wei adalah Sukan Komanwel dan Sukan Asia kerana ia dipertandingkan hanya empat tahun sekali. Seluruh England juga penting kerana ia sebagai satu salah satu persiapannya," katanya.
Mengenai cabaran Chong Wei dalam Seluruh England kali ini, Hendrawan berkata saingan lebih terbuka dan tidak tertakluk kepada satu atau dua pemain utama dunia.
"Saingan amat terbuka, mana-mana pemain mampu mencipta kemenangan. Saya dapat melihat peningkatan dalam mutu permainan lawan yang bakal dihadapi Chong Wei."
#badminton #Malaysia #Lee Chong Wei #Hendrawan #Seluruh England
;