'Harimau Malaya perlu cemburu dengan Indonesia'
November 21, 2024 09:13 MYT
Skuad Harimau Malaya perlu rasa cemburu dengan kejayaan dan pencapaian baik yang sedang dilakar Indonesia di pentas bola sepak antarabangsa.
Bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar berkata, Indonesia telah bangkit melakukan revolusi dalam pengurusan bola sepak negara mereka selepas digantung oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) selama setahun pada 2015.
Menurutnya, Malaysia juga perlu melakukan perubahan sama dalam pengurusan bola sepak selain dia turut menasihati individu yang sudah tidak mampu menyumbang untuk meninggalkan industri bola sepak negara.
"Kebangkitan luar biasa Indonesia berlaku selepas mereka digantung keahlian oleh FIFA, selepas itu mereka sedar kesilapan dan kerajaan serta beberapa individu yang minat bola sepak di Indonesia menukar hala tuju mereka.
"Mereka memilih pengurusan yang betul-betul minat pada bola sepak dan tidak ada kepentingan lain. Kita dapat lihat bagaimana mereka bekerja untuk meningkatkan tahap bola sepak negara mereka.
"Daripada situlah mulanya lakaran baharu bagi bola sepak di Indonesia termasuk liga mereka yang sudah meningkat.
"Justeru, nasihat saya, bagi individu dalam pengurusan industri bola sepak yang sudah tidak relevan kena berani tinggalkan pentas jika tidak mampu berjoget lagi," katanya.
Indonesia sedang berada pada momentum terbaik di pentas antarabangsa selepas menumbangkan Arab Saudi 2-0 dalam Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 pada Selasa.
Kejayaan menundukkan pasukan di ranking ke-59 dunia itu menyaksikan Indonesia kini berada di kedudukan ketiga Kumpulan C selain berpeluang layak ke Piala Dunia 2026 atau ke pusingan keempat kelayakan.
Malah, Indonesia juga melakar sejarah menjadi pasukan pertama dari Asia Tenggar ASEAN yang berjaya meraih enam mata dan merekodkan kemenangan dalam Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia.
Sebagai rekod, Indonesia sebelum ini digantung setahun susulan pertelingkahan antara Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) dan Kementerian Belia dan Sukan negara tersebut.
Dalam pada itu, dia turut mengakui bola sepak negara sudah jauh ketinggalan jika hendak dibandingkan dengan negara jiran itu.
"Kita kena cemburu dengan Indonesia dan belajar daripada kesilapan kita supaya boleh menyaingi mereka. Bagi saya, dalam bola sepak Malaysia ini, setiap hari kita ketinggalan.
"Kalau satu hari itu diibaratkan sebagai satu inci, berapa jauh kita sudah ketinggalan. Mereka (Indonesia) tukar kereta, kita pun dah tukar kereta, tapi diorang lagi kehadapan tukar enjin dan juga tukar pemandu," katanya.
Kredit -- Sinar Harian