Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Norza Zakaria, sedia menerima kehadiran semula pemain badminton negara, Lee Zii Jia, menyertai badan peneraju negara sukan itu.

Andai itu keputusan terbaik yang dicapai dalam pertemuan empat mata di antara Zii Jia dan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, dalam masa terdekat.

Difahamkan Zii Jia sudah pun menghubungi Hannah semalam bagi menetapkan masa yang sesuai untuk pertemuan penting ini.

"Kami sedang mengatur jadual yang sesuai untuk pertemuan kami.

"Dia baru menghubungi saya semalam," kata Hannah dalam kunjungan ke Wisma MOM hari ini.




Norza yang turut memegang tampuk presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menjelaskan tiada sebarang halangan sekiranya keperluan pemain ini untuk kembali ke pangkuan badan induk itu atau kekal dengan pilihan yang telah dibuat.

Tegas Norza, apa menjadi keutamaannya ketika ini adalah apa yang terbaik untuk Zii Jia yang merupakan harapan terbesar rakyat Malaysia menghadirkan pingat emas pertama Sukan Olimpik.

"Saya nak tunggu pertemuan di antaranya dengan Hannah.

"Sama ada dia balik BAM atau tidak, keputusan kami adalah jelas.

"Dia adalah atlet yang sudah pasti ada tempat dalam 'Road to Gold'.

Apa sahaja keperluannya seperti kejurulatihan, kami akan bagi sokongan sepenuhnya," katanya.