Undian peringkat kumpulan Kejohanan Final Jelajah Dunia BWF menyaksikan setiap wakil negara berdepan cabaran berbeza menjelang kejohanan di Hangzhou, China bermula Rabu depan.

Perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, diundi dalam Kumpulan A bersama pilihan utama dari Denmark, Anders Antonsen, pilihan ketiga dari Taiwan, Chou Tien Chen, dan perseorangan China, Li Shi Feng.

Beregu lelaki profesional, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, turut akan bertemu pilihan utama dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen, selain cabaran dua beregu Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan dan Lee Yang-Wang Chi Lin.

Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, pula berada dalam Kumpulan B bersama gandingan tuan rumah, He Ji Ting-Ren Xiang Yu, selain dua lawan dari Indonesia, iaitu Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dan Sabar Karyaman Gutama-Muhammad Reza Pahlevi Isfahani.

Beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah, turut berdepan cabaran berat bertemu pilihan utama dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning, selain gandingan Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida, dan Treesa Jolly-Gayatri Gopichand dari India dalam kumpulan A.

Dalam pada itu, dua beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, akan bertemu sesama sendiri dalam saingan Kumpulan B, di samping Hiroki Midorikawa-Natsu Saito (Jepun) dan Dejan Ferdinansyah-Gloria Emanuelle Widjaja (Indonesia).