Final Jelajah Dunia BWF: Aaron-Wooi Yik sahkan tempat ke separuh akhir tumbangkan wakil Indonesia
Muzaffar Musa
December 12, 2024 22:34 MYT
December 12, 2024 22:34 MYT
Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, mengesahkan tempat ke separuh akhir Kejohanan Badminton Final jelajah Dunia BWF apabila menumbangkan wakil Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto, di China sebentar tadi.
Aaron dan Wooi Yik menumbangkan beregu pilihan kedua tuan rumah, He Jiting-Ren Xiangyu, semalam dan kemenangan kali ini memastikan kelayakan mereka ke peringkat empat terbaik meskipun berbaki satu perlawanan.
Bagaimanapun, ia bukanlah tugas mudah, terutama dalam set pertama, di mana mereka tewas tipis 19-21.
Kebangkitan gandingan negara itu bermula dalam set kedua untuk mereka selesa mendahului 20-13 sebelum mengheret permainan ke set penentuan dengan kemenangan 21-14.
Skrip hampir sama berlaku dalam set ketiga apabila Aaron dan Wooi Yik tidak pernah ketinggalan sejak awal permainan untuk menoktahkan kemenangan 21-15 selepas secara keseluruhan bertarung selama 58 minit.
Mereka seterusnya akan bertemu satu lagi gandingan Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Muhammad Reza Pahlevi Isfahani, bagi aksi terakhir Kumpulan B esok.
[Kemaskini]:
Jiting-Xiangyu terpaksa menarik diri selepas perlawanan gara-gara kecederaan, sekali gus menyaksikan kemenangan ke atas beregu China itu dalam Kumpulan B dibatalkan.
Nasib Aaron dan Wooi Yik akan ditentukan dalam aksi terakhir Kumpulan B menentang Sabar Karyaman Gutama-Muhammad Reza Pahlevi Isfahani esok