REAL MADRID 4 BARCELONA 0
(Los Blancos mara dengan agregat 4-1)

Carlo Ancelotti berasakan Real Madrid telah menyaji satu persembahan sempurna selepas membelasah Barcelona 4-0 di Camp Nou, awal pagi tadi.


Kemenangan itu memastikan kemaraan mereka ke final Copa del Rey menerusi kemenangan agregat 4-1.

Madrid berdepan tugas berat menuju kandang seteru 'El Clasico' itu -- yang mendahului Real Madrid di puncak LaLiga dengan 12 mata -- apabila berdepan defisit satu gol selepas jaringan sendiri Eder Militao memberikan Barca kelebihan 1-0 dalam pertemuan pertama di Bernabeu.

Begitupun, Vinicius Junior menyamakan kedudukan sebelum rehat disusuli ledakan hatrik Karim Benzema dalam babak kedua untuk Madrid melakar kemenangan bergaya dan bakal mengadakan pertemuan final dengan Osasuna pada 7 Mei depan.




Sehubungan itu, Ancelotti gembira dengan semangat juang anak buahnya dalam aksi kedua itu dengan memberitahu pemberita dalam sidang akhbar pasca perlawanan: "Ia adalah satu permainan yang lengkap.

"Apabila anda menang 4-0 di sini, ia adalah disebabkan kami tepat dalam segala hal.

"Kami mempamerkan satu aksi yang hebat. Gol pertama mengubah dinamik perlawanan, kami menemui lebih banyak ruang.

"Ia agak sukar pada awalnya tetapi dalam separuh masa kedua, kami dapat melakukannya dengan sangat baik.

"Kami tidak panik apabila mereka mengasak dan kami tahu bagaimana untuk memanfaatkan ruang dalam peralihan.

"Kami menonjolkan satu perlawanan yang sempurna."