Pemain badminton beregu campuran negara, Chan Peng Soon, sah kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas tiga tahun bergerak secara profesional, demikian diumumkan badan induk itu dalam satu sebaran media hari ini.

Selepas perbincangan menyeluruh, persatuan itu mencapai kata sepakat untuk menyerap pemain berusia 33 tahun berkenaan dengan objektif untuk memperkuatkan bahagian beregu campuran skuad negara, di mana Peng Soon akan turut bertindak sebagai mentor bagi skuad pelapis negara.

Peng Soon akan melapor diri bersama skuad kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Jalil pada 1 Januari ini.

"Kami gembira dapat menambah seorang pemain dengan pengalaman dan kelayakan sepertinya ke dalam skuad kebangsaan," kata Presiden BAM, Tan Sri Dr Norza Zakaria, dalam kenyataan itu.

"Dalam permohonannya, dia telah memaklumkan mengenai keinginannya untuk layak ke (Sukan Olimpik) Paris 2024 dan meluahkan keazamannya untuk memainkan peranan sebagai mentor kepada skuad muda kami.

"Harapan kami adalah untuk dia dapat berkongsi pengalaman luasnya dengan pemain muda dan kami tiada sebarang keraguan bahawa kualiti yang dimilikinya akan dapat dimanfaatkan oleh ramai bakat muda yang kami miliki di BAM," katanya.