Bola Sepak Pekak Dunia: Wujudkan liga asah potensi Deaf Tigers
Shaiful Shamsudin
October 10, 2023 22:01 MYT
October 10, 2023 22:01 MYT
Malaysia boleh menarik nafas lega apabila Kejohanan Bola Sepak Pekak Dunia 2023 Edisi Ke-4 melabuhkan tirai dengan jayanya yang menyaksikan Ukraine dinobatkan sebagai juara lelaki selepas menewaskan Jepun.
Peluang menganjurkan kejohanan ini juga membuka peluang kepada skuad Deaf Tigers beraksi di pentas tertinggi ini buat julung kalinya.
"Kami adalah golongan minoriti tetapi cuba menjimatkan kos selain penajaan daripada syarikat swasta.
"Kebiasaannya negara Eropah yang terpilih tetapi Malaysia menjadi negara Asia pertama yang menganjurkannya.
"Kami berbangga walaupun Malaysia sebuah negara kecil tetapi menjadi perhatian dunia," kata Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDEAF), Ong Shin Ruenn, ketika muncul sebagai tetamu Nadi Arena sebentar tadi.
Malaysia menamatkan saingan di kedudukan ke-17 lantas bagi Shin Ruenn, kancah ini memerlukan sokongan dengan mewujudkan persaingan sihat bagi meneruskan kesinambungan hasil penyertaan edisi keempat ini.
"Saya harap liga bola sepak pekak diwujudkan di negara ini malah kami mungkin boleh diberi menyertai liga pemain normal," katanya lagi.
Sementara itu, bagi penggempur negara, Muhammad Akeem Mikail, yang meledak dua gol ke atas Cameroon dalam perlawanan penentuan kedudukan, turut mempunyai pandangan sama.
"Saya rasa hebat dapat bertanding dengan negara besar seperti Amerika Syarikat (AS).
"Saya harap kami dapat melolosi kelayakan yang diadakan tahun demi ke Sukan Olimpik Pekak 2025 di Jepun," katanya.