Steven Bergwijn bersetuju untuk berpindah ke juara Eredivisie, Ajax, daripada Tottenham menerusi perjanjian bernilai €31.25 juta (RM140.7j).

Penyerang Belanda itu berpindah ke England daripada PSV pada Januari 2020 dan memberi impak serta-merta dengan menjaringkan gol dalam penampilan sulung ketika menang 2-0 ke atas Manchester City.

Tetapi Bergwijn gagal mengukuhkan posisinya apabila hanya menikmati empat perlawanan dalam kesebelasan utama Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu.

Pembelian Richarlison daripada Everton mendorong Bergwijn untuk angkat kaki, lebih-lebih Piala Dunia Qatar berlangsung hujung tahun ini, lantas mendorongnya untuk kembali ke Belanda apabila Ajax mengesahkan pemain itu telah menandatangani perjanjian selama lima tahun.

Pengurus Ajax, Alfred Schreuder, memberitahu laman sesawang kelab: "Ia menunjukkan cita-cita Steven bahawa dia memilih untuk melangkah ke Ajax.

"Dia seorang pemain yang berkualiti tinggi, mempunyai bersemangat waja dan juga sangat berorientasikan matlamat yang ditetapkan."



Bergwijn pada bulan lalu meluahkan hasratnya untuk meninggalkan Stadium Tottenham Hotspur ketika dalam tugasan antarabangsa Liga Negara-Negara Eropah (UEL).

"Alangkah bagusnya jika ia dimuktamadkan segera. Saya hanya mahu beraksi," katanya.

"Saya mahu meninggalkan Spurs sekarang juga, itu sudah pasti."

Ajax kehilangan penyerang berbisa, Sebastien Haller, yang beralih ke Borussia Dortmund dengan harga €31j (RM139.6j), manakala pemain sayap, Antony, masih dikaitkan dengan Manchester United.