Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Dr. Jahaberdeen Mohamed Yunoos, menggariskan dua perkara utama yang perlu dititikberatkan pemain negara pasca Kejohanan Badminton Dunia BWF di Copenhagen, Denmark minggu lalu.

Dua perkara berkenaan adalah mengasah kekuatan mental dan perlu sentiasa memiliki inisiatif sendiri bagi mengecapi kemenangan.

Tambahnya, pemain negara tidak boleh bergantung sepenuhnya dengan arahan dan strategi daripada jurulatih sahaja.

"Pemain negara tiada masalah daripada segi kelajuan dan kemahiran," katanya kepada Astro Arena.

"Masalah yang saya lihat daripada kejohanan yang baru ini adalah melibatkan dua perkara yang penting.

"Yang pertama adalah daripada segi kemahiran mental. Perkara berkenaan perlu diperhalusi lagi.

"Yang kedua, saya lihat kita sebenarnya ada potensi untuk menang berdasarkan aksi mereka dalam permainan.

"Apa yang saya dapat lihat, mereka seakan-akan tiada inisiatif untuk mengubah strategi. Mereka terlalu berharap kepada jurulatih.

"Sewaktu bermain pun mereka sentiasa melihat kepada jurulatih untuk mengetahui apa yang perlu dilakukan.

"Apapun, kami tetap bersyukur kerana masih dapat pingat dan akan menjadikan kejohanan ini sebagai satu latihan menjelang Sukan Olimpik (Paris 2024) nanti.

"Saya percaya selepas ini kami akan mengadakan satu mesyuarat untuk mengkaji semula dua perkara berkenaan dan bagaimana ia boleh dipertingkatkan," katanya.