Beregu badminton profesional negara, Ong Yew Sin / Teo Ee Yi hampir cipta sensasi di separuh akhir Masters Jepun sebelumnya akhirnya tunduk mengalah kepada lawan di China, Liu Yu Chen / Ou Xuan Yi.

Dengan memegang mata akhir pada kedudukan 20-19 di set kedua selepas menang set pertama 21-16, tuah nyata tidak menyebelahi pasangan Malaysia ini apabila gagal menamatkan permainan yang akhirnya berjaya dicuri gandingan China itu dengan keputusan 22-20.

Permulaan set ketiga ini menyaksikan pasangan China itu menguasai permainan dan mendahului 11-6 sebelum Yew Sin / Ee Yi cipta kebangkitan untuk mengejar lawan dan berjaya menyamakan kedudukan 11 sama.

Namun selepas itu ternyata momentum di sebelah gandingan China yang sentiasa di depan dalam pungutan mata.

Pasangan Malaysia ini cuba mengejar tetapi terpaksa akur dengan kekuatan pihak lawan dan akhir Yu Chen / Xuan Yi menoktahkan kemenangan dengan keputusan 21-17 selepas pertarungan selama 68 minit.

Kekalahan Yew Sin / Ee Yi ini menyaksikan tiada wakil negara ke pentas final kejohanan ini.