Badminton Terbuka Malaysia: Yew Sin-Ee Yi akur tewas kepada bekas juara dunia


January 12, 2024 22:02 MYT
Impian beregu lelaki profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, untuk mara lebih jauh dalam Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2024 tidak kesampaian.
Pasangan yang menghuni ranking ke-12 itu terpaksa akur tewas kepada juara dunia 2021, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun 21-15, 21-9 dalam aksi suku akhir di Axiata Arena, Bukit Jalil sebentar tadi.
Biarpun bermula dengan baik pada permulaan set pertama, namun corak permainan mereka dapat dibaca pilihan ketujuh itu yang mengesahkan kemenangan dalam tempoh 34 minit permainan pada kejohanan berstatus Super 1000 tersebut.
"Bermula dengan baik, namun selepas itu mereka dapat tangkap (baca) permainan dan kemudian mengawal dengan bagus sehingga tidak beri peluang kepada kami.
"Kami tidak dapat buat serangan. Tiga pukulan pertama juga berjaya dimatikan lawan, tukar strategi pun berjaya dipatahkan. Cuba bertahan, namun tak menjadi," ujar Yew Sin kepada media sejurus tamat permainan.
Meskipun tidak dapat menyembunyikan kekecewaan gagal mara ke peringkat seterusnya, namun mereka tetap berpuas hati dengan pencapaian awal musim ini apabila berjaya melangkah ke aksi suku akhir.
"Permulaan yang baik, tapi belum cukup. Tahun lalu tak banyak masuk suku akhir, namun dapat pergi suku akhir membuatkan kami lebih bersemangat dan yakin untuk menyertai kejohanan akan datang," kata Ee Yi.
Malah Ee Yi turut menyifatkan pasangan ketujuh dunia itu mempamerkan corak permainan lebih baik berbanding sebelum ini.-Sinar Harian
#badminton #Ong Yew Sin #Teo Ee Yi #Badminton Terbuka Malaysia
;