Badminton Terbuka Malaysia: 'Saya mahu menang, tapi Yu Qi lebih padu' -- Axelsen
Ammar Hakim
January 14, 2024 15:56 MYT
January 14, 2024 15:56 MYT
Pemain badminton nombor satu dunia, Victor Axelsen mengakui penyandang juara itu tidak berada dalam prestasi terbaik ketika memasuki fasa separuh akhir kempen mempertahankan kejuaraan Terbuka Malaysia.
Namun, pemain kelahiran Denmark itu menegaskan dia tetap berusaha menampilkan persembahan terbaik setiap perlawanan bagi pemburuan kejuaraan ketiga berturut-turut untuk edisi Super 1000 berkenaan.
Biarpun begitu, Axelsen mengakui tidak berpuas hati keputusan diraih di Terbuka Malaysia selepas merangkul beberapa kejuaraan Super 1000 sebelum ini.
"Anda bukan pemain terbaik seandainya anda tidak menang dan itulah yang berlaku kepada saya hari ini.
"Ia semua berlaku beberapa minggu selepas memenangi Siri Akhir Jelajah Dunia untuk kali kelima, saya boleh melakukannya dengan rehat seminggu tambahan.
"Saya mahu menang, tapi ternyata Yu Qi lebih berhak untuk menang. Tahniah kerana dia menampilkan permainan yang lebih baik," katanya kepada pemberita selepas perlawanan separuh akhir di Axiata Arena pada Sabtu.
Dalam pada itu, Axelsen berkata, dia telah memberikan persembahan terbaik seperti yang diberikan sebelum ini dalam setiap perlawanan.
"Untuk seorang pemain tiada apa yang paling mahu diberikan setiap kali berada dalam gelanggang hanyalah kemenangan.
Sebelum itu, hasrat Axelsen untuk ke pentas perlawanan akhir Terbuka Malaysia tidak kesampaian apabila dijinakkan pemain China, Shi Yu Qi, 12-21, 19-21, 17-21 sekaligus mengakhiri penguasaan juara bertahan semalam.-Sinar Harian