Badminton Terbuka Malaysia: Peng Soon imbas momen indah final Terbuka Malaysia

Ammar Hakim
January 12, 2024 17:30 MYT
Pemain berpengalaman, Chan Peng Soon, mengimbas momen indah ketika beraksi pada pentas final Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia, lapan tahun lalu.
Dia bersama bekas pasangannya, Goh Liu Ying, pernah bertarung di gelanggang keramat badminton di Shah Alam dan Bukit Jalil pada edisi 2016 dan 2013, namun nasib tidak menyebelahinya apabila terpaksa berpuas hati bergelar naib juara.
Malah beliau turut terharu dengan sokongan padu ribuan peminat negara yang memenuhi setiap ruang stadium untuk menyuntik semangat para pemain Malaysia.
"Saya dapat beraksi dua kali di pentas final Terbuka Malaysia, tapi sayang tak pernah menang.
"Satu perasaan yang sangat hebat, memori indah. Penyokong Malaysia terbaik sebab dari saingan pusingan pertama lagi ramai peminat datang untuk beri sokongan.
"Wah ini sesuatu yang berbeza. Terima kasih kepada semua peminat," katanya kepada media sejurus tamat aksi pusingan kedua Terbuka Malaysia 2024 di Bukit Jalil pada Khamis.
Bagaimanapun, impian Peng Soon dan pasangannya, Cheah Yee See untuk mara lebih jauh tidak kesampaian setelah tewas kepada Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dari China 21-14, 21-14.
Pada Terbuka Malaysia edisi 2016, Peng Soon-Liu Ying kecundang kepada Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir dari Indonesia 21-23, 21-13, 16-21 dalam aksi final di Stadium Malawati Shah Alam.
Penampilan pertama mereka di pentas final pada edisi 2013 juga tidak menjadi apabila tewas 13-21, 18-21 kepada pasangan dari Denmark, Fischer Nielsen Joachim-Perdersen Christinna di Stadium Putra, Bukit Jalil.
Pemain dari Pulau Pinang itu pada akhir tahun lalu mengumumkan untuk menggantung raket pada tahun ini.
Peng Soon mula menempa nama dalam acara beregu campuran bersama Liu Ying yang menyaksikan mereka meraih pelbagai kejuaraan termasuklah memenangi pingat perak di Sukan Olimpik Rio 2016.-Sinar Harian
#badminton #Chan Peng Soon #Badminton Terbuka Malaysia #Cheah Yee See
;